Wednesday 30 September 2020

  Matlamat Perpaduan yang Diidamkan

Perpaduan menjadi matlamat setiap bangsa dan negara agar hidup sentiasa harmoni dan tenteram tanpa menggugat keamanan.Tanpa keamanan, rakyat tidak akan hidup selesa dan negara akan bergolak setiap masa.Hal ini boleh dilihat di negara-negara bergolak apabila peperangan sentiasa berlaku dan rakyat hidup dalam keadaan bergantung kepada bantuan luar. Kanak-kanak, perempuan dan orang tua menjadi mangsa dan kebuluran serta kemiskinan tidak terpisah daripada kehidupan. Betapa pentingnya perpaduan perlu dibina dan dipupuk agar ianya menjadi sesuatu budaya dan amalan kehidupan oleh setiap rakyat dalam negara ini. Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah dan Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan, "Perpaduan sebagai suatu hasrat yang diidamkan adalah sukar diukur, dilihat secara nyata mahupun berkekalan. Perkara ini biasanya hadir mengikut keadaan, keperluan dan detik-detik tertentu secara formal atau tidak formal dalam kehidupan seharian masyarakat"

Detik Perpaduan

Detik Perpaduan adalah saat yang boleh dilihat berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat. Antara suasana yang sering dilihat menunjukkan muncul perpaduan adalah detik-detik ketika pergaulan di pasar, mengadakan majlis perkahwinan, tempat makan, sokongan dalam sukan, memberi bantuan ketika bencana, mengunjungi tempat percutian, menikmati cuti umum pelbagai perayaan, hadir menonton filem di pawagam dan sebagainya.

Perkahwinan: "Street Wedding"

Sering kita menghadiri majlis perkahwinan saudara mara atau kenalan yang diadakan di taman-taman perumahan selain diadakan di dewan-dewan besar. Jika majlis perkahwinan yang diadakan di dewan besar, ianya tidak menimbulkan masalah kepada masyarakat memandangkan terdapat ruang yang khas berserta tempat letak kereta yang cukup.

Namun,suasana apabila majlis perkahwinan dilakukan di taman-taman perumahan.Ianya menimbulkan suasana yang sesak dan kawasan meletak kenderaan para tetamu sangat terhad dengan kehadiran ramai jemputan.Jika dilihat kepada peruntukan undang-undang dalam negara.Ianya merupakan satu kesalahan mendiri dan menyelenggara sesuatu halangan di tempat awam.

Inilah detik perpaduan yang wujud dikalangan rakyat Malaysia iaitu bertolak ansur dalam perkara tersebut kerana sikap saling memahami antara satu sama lain tanpa mengira agama dan budaya.  

Kesihatan

Jika anda sakit, sudah tentu klinik atau hospital yang akan menjadi tempat kunjungan untuk memeriksa masalah kesihatan dan mendapatkan ubat. Tidak kira apa bangsa klinik dan hospital akan menjadi tempat rujukan setiap rakyat dalam mendapatkan rawatan terhadap sebarang masalah kesihatan yang dihadapi. Begitu juga dengan pegawai yang bertugas sama ada doktor, jururawat, pembantu hospital dan semua kakitangan hospital akan memastikan pesakit yang datang akan diberikan rawatan.

Suasana ini berlaku disemua klinik dan hospital di Malaysia dan ianya sesuatu yang menjadi detik perpaduan dikalangan rakyat yang mesti diteruskan malah dibanggakan.Sebagai doktor mahupun jururawat, mereka tetap akan merawat pesakit yang datang walaupun berlainan bangsa dan agama kerana itulah tugas mulia yang harus semua rakyat berbangga khususnya ketika sesuatu wabak penyakit berjangkit melanda negara.

Sukan

Sebagai contoh, Atlet Badminton Negara, Datuk Lee Chong Wei adalah berbangsa Cina, namun semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa menyokong dan meminati setiap perlawanan beliau di setiap pertandingan badminton.

Begitu juga dengan sukan-sukan yang lain. Tidak kira apa bangsa dan agama, ianya tidak menjadi halangan untuk peminat dan menonton serta menyokong setiap aksi yang dipersembahkan kerana pemain sukan bukan bermain untuk diri mereka malah mereka bermain untuk negara.

Detik Perbezaan

 Apakah perkara yang membezakan antara anda dengan orang disekeliling anda? Adakah perbezaan-perbezaan ini menyukarkan kehidupan anda setiap hari? Kita tidak boleh lari daripada perbezaan khasnya berkaitan dengan budaya bangsa Malaysia.Perbezaan ini perlu dilihat daripada aspek positif untuk mengukuhkan lagi perpaduan dan hubungan antara kaum. 

    Sambutan Perayaan

   Detik perbezaan dalam sambutan perayaan di Malaysia jelas kelihatan kerana sambutan perayaan selalunya mempunyai kaitan dengan kebudayaan dan agama setiap agama yang pelbagai. Namun hal ini tidak dapat dilihat sebagai perbezaan yang akan menggugat perpaduan bangsa kerana setiap budaya dan agama mempunyai ciri-ciri yang tertentu.

  Setiap warga perlu berjiwa besar dan berlapang dada dalam menghadapi isu sambutan perayaan sebagai suatu sambutan tahunan semua bangsa di Malaysia.Malah aktiviti kunjung mengujung yang tidak berkaitan dengan hal-hal keagamaan perlu diteriskan agar perpaduan yang ada semakin utuh.

  Jenayah

   Apabila berlaku sesuatu jenayah, pastinya kita akan melihat apakah jenis jenayah yang dilakukan. Apabila telah pasti sesuatu jenayah tersebut, maka akan terlintas dalam minda siapa yang terlibat dalam jenayah tersebut. Hal ini adalah satu sikap yang salah kerana semua jenayah tidak ada kaitan dengan sesuatu bangsa. 

  Setiap bangsa dan agama terdedah dengan apa jua jenayah. Jika seseorang tidak mempunyai jati diri yang kuat dan pegangan agama yang kukuh, maka apabila berdepan dengan sesuatu perkara, maka akan berlaku perlanggaran had yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Sebagai warganegara, kita haruslah patuh kepada setiap peraturan dan undang-undang negara kerana hukuman tidak melihat bangsa untuk dijatuhkan.

  Pengebumian

   Pengebumian mempunyai kaitan dengan anutan agama seseorang. Walau bagaimanapun, agama tidak menghalang untuk seseorang penganut bersedih dan menghormati atas kehilangan salah seorang ahli keluarga yang berlainan bangsa dan agama. Ziarah menziarahi juga digalakkan sebagai memberi sokongan kepada ahli keluarga yang kematian orang yang disayangi. Lebih bermakna lagi apabila bantuan dihulurkan kepada waris yang kehilangan tempat bergantung dan dapat membantu mereka yang memerlukan.

3 comments: